Pages

Monday, June 24, 2013

Wasiat Hang Jebat


(Ini adalah sebahagian daripada teks ucapan Hang Jebat yang pada awalnya dianggap hilang terbakar di dalam kapal Belanda “Le Fluer” ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Bengkulen. Teks ini telah temui secara tidak sengaja ketika penulis membuat kajian ilmiah di University of Leiden pada tahun 1992 – teks asal masih tersimpan di dalam arkib University of Leiden)

“Wahai orang-orang Melaka, apabila kamu merasa tidak puas hati atau tidak berkenan akan sesuatu maka hendaklah kamu memberitahu kepada anak isteri kamu, kaum keluarga kamu, sahabat taulan kamu, jiran tetanga kamu, orang-orang kampung kamu. Janganlah hendaknya tidak ada orang yang tidak kamu beritahu akan rasa geram hati kamu dan amarah kamu itu.

Maka hendaklah kamu kumpulkan anak bini kamu, sanak-saudara kamu, sahabat taulan kamu, jiran tetangga kamu, orang kampung kamu, kumpulkan semua orang-orang Melaka dan bawalah berita itu hendaknya ke Lubuk China hingga ke Tanjung Tuan hingga ke Linggi hingga hendaknya sampai ke Rembau Labu dan Lukut dan hendaknya sampailah berita ini hingga ke Seri Menanti.
Bawalah berita ini kepada Jakun dan Biduanda, Semelai dan Sakai agar hendaknya mereka sama mendengar kematian Tun Hukum dibunuh Raja Melaka difitnah Sang Kitul Kerala difitnah Sang Linggam anak cucu Nina Manikam. Hendak-hendaknya mereka akan bersama kita menyumpit yang jahat membuluh yang zalim.
Wahai orang-orang Melaka pada malam ini di atas Bukit China maka berjanjilah kita semua dan ingat mengingatilah kita semua bahawasanya kematian Tun Hukum itu akan membawa bencana ke atas negeri Melaka.
Wahai-orang Melaka apabila kamu merasa tidak puas hati maka kamu beraraklah dan berjamonglah beramai-ramai menuju ke istana. Maka hendaklah kamu mengepung istana dan jika sekiranya di jalan kamu bertemu sesiapa sahaja maka ajaklah mereka datang bersama-sama untuk pergi mengepung istana. Jika sekiranya kamu bertemu Juak dan Sida istana maka hendaklah kamu duduk bicara menerangkan angkara yang amarah kamu yang amat sangat terhadap raja.
Hendaklah kamu membawa gendang dan palu agar raja yang sentiasa beradu akan bangun dan bertanya apakah angkara orang Melaka dimalam hari hingar dan bising. Apakah angkara hingar dan bising mengganggu beta yang sedang nyenyak beradu.
Wahai orang-orang Melaka berkumpul dan beraraklah kita pada malam ini ke istana. Amarah kamu itu adalah amarah aku juga. Amarah aku itu adalah amarah seluruh roh di Bukit China. Amarah kamu itu adalah amarah cucu-cicit Penghulu Tanjung Keling. Amarah kamu ini adalah amarah cucu-cicit Wan Empok Wan Melini anak cucu-cicit dari Bukit Seguntang Mahameru.
Wahai orang-orang Melaka pada malam ini panglima kita telah segak siaga anak cucu-cicit Penghulu Sidata Tanjung Keling, anak cucu-cicit Hang Li Po dan Panglima Besar Tun Bersih. Bersama-sama sebahulah kamu wahai orang-orang Melaka.
Inilah janji aku kepada kamu wahai orang-orang Melaka, bukan janji aku untuk menjadi raja bukan janji aku untuk menjadi tuan. Di atas Bukit China ini seperti Musa di atas Bukit Sinai seperti Isa di atas Bukit Zaiton inilah aku Jebat anak cucu-cicit Wan Empok Wan Melini dari Bukit Seguntang Mahameru asal
usul keturunan aku Raja Suran yang turun ke laut anak cucu kepada Iskandar Zulkarnian maka marilah kita bersama-sama mengepung istana raja Melaka.
Akulah Jebat yang akan diingat hendak-hendaknya oleh seru sekelian alam dengan kata-kata Raja Adil Raja Di Sembah Raja Zalim Raja di Sanggah. Marilah kita bersama-sama berarak pada malam ini dan ketika ini dengan obor jamong dan pelita mengepung Istana Raja.”
”INGATLAH WAHAI ORANG ORANG MELAKA DUNIA INI HANYA UNTUK MEREKA YANG BERANI !!!”

http://suaradarigunung.wordpress.com/2011/06/30/ini-pula-wasiat-hang-jebat/
http://bradokapak.blogspot.com/2012/04/wasiat-hang-jebat-untuk-sekalian-orang.html

Thursday, June 6, 2013

Bermulanya Kisah Asalnya Melayu -Rumpun Melayu dan Pribumi Sabah Sarawak


Salah faham mengenai rumpun ini masih lagi berleluasa mungkin kerana kurangnya pembacaan dan pendedahan di kalangan rakyat kita. Yang paling sedih sekali ialah ada individu yang menyangka bahawa BUGIS, BANJAR, BAJAU, SULUK, CHAM, KERINCHI, ACHEH, AMBON, MINANG, JAWA dan sebagainya sebagai bukan salah satu daripada rumpun melayu.

Kelihatannya salah faham yang wujud di sini semakin melebar. Mereka menyempitkan fahaman bangsa itu dalam suku bangsa. Hal ini sangat-sangat menyedihkan. Sedangkan orang cina dari pelbagai suku seperti Han, Min, Wu, Tanka dan Hui boleh bersatu di bawah rumpun cina(Sino-Tibetian). Ya, ada sebahagian suku kaum yang berasal daripada suku Sino-Tibetian ini seperti Viet (orang vietnam), Thai (bukan siam kerana siam berbeza dengan Thai) yang tidak mengaku asal-usul mereka daripada Sino-Tibetian ini kerana proses semangat KENEGARAAN seperti mana yang berlaku di Indonesia untuk kategori RUMPUN MELAYU A.K.A AUSTRONESIAN ini. 
Kalau orang India pula, suku seperti Tamil, Telegu, Malayam ialah sebahagian daripada rumpun India. Suku bangsa Aryan yang selalunya menduduki kasta tertinggi dalam masyarakat India terasing daripada suku bangsa itu kerana mereka lebih kepada bangsa Indo-Eropah. Itu sekadar pengenalan kepada BANGSA dan SUKU BANGSA agar kita tidak salah faham.

Namun, yang ingin disentuh di sini ialah salah faham yang melibatkan MELAYU itu. Salah faham ini timbul apabila di KEPULAUAN MELAYU ini, bangsa ini terpecah kepada tiga buah negara iaitu MALAYSIA, INDONESIA dan FILIPINA. Ada juga sebahagian daripada orang melayu yang terdiri daripada suku Siam terperangkap di selatan Thai. Orang melayu siam ini ialah pembina kerajaan melayu di Thailand seperti Sri Dharmaraja. Berbeza dengan orang Thai yang merupakan pendatang dari China yang lari daripada peperangan di sana lalu menubuhkan Kerajaan Ayutthayya di Indochina. 

Asal Usul Melayu 

Fantasi Yunnan masih menjadi pegangan mereka yang bertuankan teori bahawa melayu itu asalnya daripada Yunnan. Mengikut perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu , Melayu ditakrifkan sebagai orang di Tanah Melayu yang mengamalkan kebudayaan Melayu danberagama Islam. Takrif ini bukan sahaja kabur, tetapi juga menyempitkan makna Melayu yang asalnya bukan sahaja merujuk kepada orang Melayu di Tanah Melayu,tetapi juga orang Melayu serumpun di luar Tanah Melayu.

Orang yang serumpun dengan orang Melayu di tanah melayu dan berada di tanah, tetapi bukan Islam dengan serta-mertamenjadi orang bukan Melayu sehingga istilah Bumiputera diperkenalkan bagi merangkumi Melayu yang tidak Islam, seperti orang asli. Perlembagaan ini diperluaskan kepada Perlembagaan Malaysia apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bercantum dengan tanah melayu menjadi Malaysia pada 1963, dengan mengusutkan lagi makna Melayu. Mungkin ini yang menjadi punca kenapa suku kaum pribumi Sabah dan Sarawak hilang asal-usulnya.  

Apa yang ingin ditekankan di sini ialah benarkah Melayu itu asalnya daripada Yunnan? Pendapat ini sesuai dengan pandangan evolusi kononnya orang tertua ialah ‘Orang Peking’. Pandangan ini tersangkal apabila diketahui fosil ‘Orang Peking’ itu adalah palsu. Dari segi bahasa juga terdapat perbezaan ketara antara bahasa Melayu Purba dengan bahasa Yunan sehingga teori ini tidak dapat dipertahankan lagi. Bahasa Melayu tidak ada kesamaan langsung dengan bahasa Yunan tetapi lebih dekat dengan bahasa penduduk kepulauan Pasifik dan Pribumi Sabah dan Sarawak. Malah ada yang mendakwa bahawa Bahasa Melayu dekat dengan Bahasa Sanskrit, bahasa penduduk Aryan yang datang daripada Iran ke utara India untuk menyebarkan agama Hindu. 

Kalau ditelusuri dengan lebih dalam, Ibnu Khaldun dengan beraninya mengangkat Melayu ini datangnya daripada keturunan Nabi Ibrahim, daripada isterinya Keturah. Daripada keturunan Keturah ini juga diketahui bahawa lahirnya bangsa pembina tamadun hebat seperti bangsa Median. Jika mahu mengupas topik ini, ia pastinya mengambil sebuah lagi artikel kerana sejarah yang melibatkan orang melayu dan Nabi Ibrahim sangat panjang. 


Melayu dan Austronesia

Berdasarkan buku kajian Walace, seorang pakar Antropologi dan Sejarah dunia daripada Universiti Oxford (1863), bukunya yang bertajuk The Malay Archipelago, beliau menakrifkan penduduk gugusan Kepulauan Melayu sebagai rantau Asia Tenggara yang hampir-hampir berbentuk segi tiga, bermula di Pulau Nikobar di Timur Laut ke Pulau Solomon di Tenggara, dan dari Luzon di Utara ke Rotti dekat pulau Timor di Selatan. Kawasan yang luas itu dibahaginya kepada lima kumpulan: Kepulauan Indo-Malaya, Kepulauan Timor, Kepulauan Maluku dan Kepulauan Papua.  

Walace berpendapat melalui kajiannya, bangsa-bangsa yang mendiami kawasan itu berkongsi keluarga bahasa yang sama, berkongsi budaya yang sama, berkongsi warna kulit yang hampir sama. Dia mengulas lagi di dalam bukunya, rumpun bangsa ini samalah seperti bangsa Causasians di eropah dan amerika yang pada asalnya terdiri daripada tiga jenis suku iaitu, Aryan, Semitic dan Hamitic. Daripada tiga suku ini lahirlah seperti Saxon, Anglo, Teuton dan sebagainya. Hal ini juga telah disokong oleh Parlimen Hawaii di Honolulu pada tahun 1879. Dengan usaha Maharaja Abu-Bakar pada waktu itu, parlimen Hawaii telah membincangkan mengenai penyatuan dunia melayu di bawah satu nama Pan-Malaysia and "Malaysia Irredenta". 

 

Peta Benua Melayu yang dicadangkan 

Sembilan tahun kemudian,  (1898) Apolinario Mabini di Manila mencadangkan “Federation Malaya” dengan gagasan yang sama. Pada waktu itu juga munculnya Jose Rizal,  yang diberi jolokan oleh orang filipina sebagai "The Pride of the Malay Race” atau “The Great Malayan”. Dalam bukunyam Jose Rizal menulis bahawa seharusnya filipina dimasukkan dalam rancangan menggabungkan Tanah Melayu dan Indonesia memandangkan mereka juga di bawah rumpun yang sama. 

Wancelao Vinzons , pengikut Jose Rizal pernah menyampaikan pidato bersejarah “Malaysia Irredenta” yang memaparkan mimpi penyatuan seluruh bangsa Melayu - Polinesia. Waktu itu beliau berusia 22 tahun dan seorang pemuja Rizal. Beliau selanjutnya mengarang buku mengenai “History and civilization of Southeast Asian countries belonging to the Malay race”

Pada asalnya, nama untuk rumpun melayu ini dalam bahasa saintfiknya ialah Polynesian, tetapi penemuan terbaru yang menemui bahawa penduduk asli di Taiwan itu juga termasuk dalam rumpun melayu, (suku Farmosa) termasuk dalam rumpun melayu, maka nama Polynesian itu terpaksa ditukar kepada Autronesian. 

Kerajaan-Kerajaan Melayu 

Melayu sememangnya terkenal dengan pembinaan kerajan-kerajaan agung mereka. Sriwijaya misalnya telah berjaya menyatukan seluruh alam melayu ini daripada Madagascar hingga ke selatan Taiwan berdasarkan catatan Nehru (1963) yang merupakan seorang sejarahwan India.  

Hanya Majapahit yang diperintah oleh suku Jawa sahaja merupakan kerajaan melayu yang terasing daripada empayar Sriwijaya. Namun, jatuh sahaja empayar Sriwijaya, Majaphit menuntut hampir 1/3 empayar Sriwijaya yang pernah terbentang luas. 

Champa dan Funan di Indochina misalnya merupakan kerajaan Melayu yang pernah menguasai wilayah itu sebelum orang Viet, Khmer dan Thai yang merupakan pelarian daripada selatan China datang dan menghambat mereka ini hingga ke tanah melayu. Oleh sebab itu, lahirlah teori bahawa orang Kelantan dan Jawa itu asalnya merupakan pendiri Kerajaan Champa. Oleh sebab itu juga, orang Kelantan dan Jawa berkongsi budaya melayu yang sama seperti BATIK dan WAYANG KULIT.  

Terdapat juga kerajaan melayu Purba lain yang tercatat dalam buku Cina, seperti Lang Ya Xiu (Fatani/Patani sekarang)pada abad ke-2 Masehi, Pan Pan (utara Segenting Kera) pada abad ke-5 Masehi,Senggora (Tanah Merah, sekarang di Thailand Selatan) dan Zhu Bo (Pulau Jawasekarang). Semuanya telah wujud sekurang-kurangnya pada abad ke-5 Masehi, manakala Dan Dan atau Tan Tan (Kelantan sekarang, yang juga disebut Ki-lantan oleh penulis Cina yang terkemudian) telah wujud sebelum abad ke-6 Masehi.

Mengikut buku INTAN (1991), sumber Cina yang lain yang juga mencatat kebesaran kerajaan Ho-Lo-Tan atau Kuo-Lo-Tan di Semenanjung Malaysia pada kurun ke-5 Masehi itu juga ditafsirkan sebagai Kelantan sekarang. Kerajaan ini dikatakan pernah mengirim utusan dan ufti ke negeri China pada tahun 430, 433,436, 437 dan 452 Masehi. Mengikut catatan Dinasti Syui pada abad ke-6 Masehi, seperti yang diterjemahkan Liang Liji (1996), kerajaan Kelantan pada abad sebelumnya lagi, adalah seperti yang berikut:

"Negeri Dan Dan sudah terkenal pada zaman Dinasti Syui lagi. Keluarga rajanya bernamaKsyatriya, namanya Raja Sri Linga, memerintah lebih daripada dua puluh ribu keluarga. Menterinya ada lapan orang, disebut Lapan Teras, dan Menteri Besarnya dipegang oleh seorang Brahmin. Tubuh raja dipupuri dengan bedak harum, bermahkota menjulang tinggi, berkalungkan ratna mutu maknikam, berpakaian warna-warni, berkasut kulit. Kalau berpergian; dekat naik kenderaan, jauh naik gajah. Ketika berperang orang meniup serunaidan memalu genderang. Hukumannya keras: pencuri tak pandang dosanya; besar kecil semuanya dibunuh."

Tulisan Orang Melayu

Pada hari ini, kita hanya mengetahui kewujudan tulisan orang melayu hanya jawi sahaja. Tetapi, tahukah jawi bukanlah satu-satunya tulisan yang pernah digunakan oleh orang kita. Rencong misalnya (lihat gambar). 
Tulisan Palavi juga merupakan tulisan yang digunakan oleh orang melayu. Berbeza dengan tulisan rencong yang dicipta sendiri oleh orang melayu, tulisan Palavi ini diadaptasikan daripada tulisan yang berasal dari selatan India, Kerajaan Palava. Di bawah ialah rentetan perkembangan tulisan Palavi oleh orang melayu.  

1. Zaman aksara Palavi Awal, dari abad ke-4 hingga ke-7 Masihi, seperti yang tertulis pada prasasti di Kalimantan Timur, Jawa Barat, Kedah-P. Pinang (Bukit Meriam di Kuala Sg. Merbuk, Ceruk Tokun, Provins Wellesley dan Sungai Bujang yang tersebut tadi

2. Zaman aksara Palavi Kemudian, dari abad ke-7 hingga pertengahan abadke-8 Masehi, seperti yang dijumpai pada prasasti di Sumatera, Jawa Tengah,dan Semenanjung Malaysia

3. Aksara Kawi Awal atau Jawa Kuno, daripada pertengahan abad ke-8 Masehihingga awal abad ke-10 Masehi, dijumpai pada prasasti di Thai Selatan,Jawa Tengah, Jawa Timur, dan Semenanjung Malaysia

4. Aksara Kawi Kemudian, daripada awal abad ke-10 Masehi hinggapertengahan abad ke-13 Masehi, dijumpai pada prasasti di Jawa Timur,Airlangga, Kediri, Bali, Sunda, dan Sumatera Selatan)

5. Aksara Kawi zaman Majapahit, yang dijumpai pada prasasti di seluruh Alam Melayu ini sehingga kemasukan aksara Arab menerusi Islam.


Ini tidak bermakna bahawa orang melayu tidak tahu menulis sebelum abad ketujuh apabila mengadaptasikan tulisan kawi atau mencipta tulisan rencong yang kemudiannya digunakan oleh Kerajaan Majapahit pada abad ke-14 walaupun usia tulisan Rencong sebenarnya jauh lebih awal daripada kewujudan tulisan Palavi. 

Tamadun Melayu Campa sudah meninggalkan 206 buah prasasti, yang terdiri daripada 98 buah prasast idalam bahasa Melayu Purba-Campa, 43 bahasa Sanskrit, 29 dwi-bahasa itu dan 36 lagi tidak diketahui bahasa atau aksaranya, kerana belum dikaji pakar. 

Pribumi Sabah dan Sarawak 

Suku kaum di Sabah dan Sarawak ini masih samar-samar kewujudan mereka. Dalam hukum antropologi, pribumi sabah dan sarawak yang juga dilabelkan sebagai Bumiputra Malaysia ini termasuk dalam rumpun melayu berdasarkan pandangan Walaces dalam bukunya menempatkan bahawa mereka dalam rumpun melayu dan menyamakan mereka dengan Deuro Malay . Mereka dipercayai berasal daripada suku Proto-Malay yang merupakan ras kepada ORANG ASLI di MALAYSIA. 

 Manakala Owen Rutler dalam bukunya The Pagans Of North Borneo mengatakan bahawa suku kaum di Sabah dan Sarawak masih lagi samar asal-usulnya. Dari segi linguistik, bahasa yang dituturkan oleh penduduk asli di Sabah dan Sarawak masih lagi dalam kategori Keluarga Bahasa Melayu atau Austronesian Language. 

Sehingga hari ini, perkara ini masih didebatkan oleh para sejarahwan, antropologi dan lingusitik mengenai pribumi di Sabah dan Sarawak. Bukti-bukti yang ada pada hari ini menjuruskan mereka termasuk dalam rumpun Melayu (Austronesian). 

Rujukan:
1. Sulalatus Salatin
2. The Malay Archipelago
3.  Kajian Shaharir Mohd Zain
4. Wikipedia: Search Melayu, Cina dan India
5. INTAN
8. The Pagans Of North Borneo 
9. TAMADUN ALAM MELAYU oleh Tuan Aarof bin Ishak 

Sunday, June 2, 2013

WASIAT TERAKHIR DAN WARKAH RAHSIA DARI ATOK KEPADA CUCUNYA....

Assalamualaikum cucu-cucu atok sekalian... Begitu ramai sekali cucu-cucu atok yang berkelana sehingga ke sini, Alhamdulillah moga diberkati akan segala usaha cucu itu.. Orang muda seperti cucu jangan gentar dalam mencari ilmu, tuntutlah ia hatta sehingga liang lahad sekalipun...

Panjang pula atok berceloteh....aaahh, mungkin kerna sudah sekian lama atok bersembunyi.. Mungkin jua kerna kerinduan untuk atok menyampaikan warkah ini kepada cucu sekalian.. Siapa atok? aaahhh...cuma seorang tua yang merindukan cucunya, mahu menyampaikan sesuatu sebagai peringatan... Maklumlah, orang lama itu umpama kelapa tua, makin tua makin banyak santannya.. =)

Cucu.... Mahukah cucu mendengar atok berceloteh.. Mungkin saja orang seperti atok ini digelar gila, nyanyuk, kolot dan macam-macam lagi gerangannya.. Kalau cucu mahu teruskan mendengar, silakan cu..duduklah bersila di atas tikar mengkuang itu..pasangkan pelita hatimu, seterang pelita di tiang pondok usang atok ini.. Pasang telinga betul-betul cu..tok mahu ceritakan sesuatu kepada cucu...

Cucu... Sebelum itu... Setelah cucu mendengar cerita atok ini, cu perlu berjanji kepada atok.. Cu perlu berjanji yang cucu mesti MERAHSIAKAN SIAPAKAH DIRI ATOK... Mampukah cu BERJANJI..? Mampu....? Bagus cu..pegang janji itu seeratnya, atok mahu mulakan cerita... Tolong ambil tepak sireh di tepi talam itu, sambil bercerita kan enak sambil mengunyah sireh... =)

Cucu... Atok mahu menceritakan kembali sejarah yang telah berlaku... Ya cu... MELAKA...! TUAH...! Nama yang cukup menyentuh benak hati atok sekian lamanya... Biarlah.. hari ini biarlah atok bercerita lembaran yang sebenar kepada cucu.. Supaya kelak cucu mampu jadikan ia sebagai tauladan, dan jangan cucu ulang ia sebagai satu kealpaan..

Cucu ku sekalian... Melaka sejak dahulu kala cukup terkenal sebagai sebuah kuasa besar perdagangan di Selat Melaka. Betapa ketika itu banyaknya bahtera-bahtera yang datang berdagang, sejauh mata yang memandang.. Yang bermata sepet, yang berkulit putih, yang berkulit hitam hatta apa warna sekalipun pantas saja datang ke Melaka untuk melihat keagungan sebuah kerajaan Melayu.. Sebut saja nama Melaka, di serata pelusuk utara selatan timur dan barat pasti mengenalinya.. Ada yang datang berdagang rempah, ada yang datang berdagang permata dan ada pula yang datang berdagang nasib menyabung hidup menumpang keagungan sebuah kerajaan..

Aaahh...kalau atok mahu bercerita keagungan Melaka, pasti 1001 lembaran kertas pun belum habis atuk mengarang.. pasti 1001 malam pun belum tentu atok habis bercerita... =)

Tuangkan kopi pekat itu cu... Atok mahu menyambung warkah ini..

Maka syahadan tersebut ketika itulah masyhurnya Melaka dengan seorang LAKSAMANA bernama HANG TUAH.. TUAH.. JEBAT..KASTURI..LEKIR..LEKIU..

Itulah nama yang masyhur ke serata alam, menjadi sebutan segala isi alam yang bertandang ke Melaka.. Dipendekkan cerita dan dengan takdir yang Maha Esa, tiadalah kekal lama Empayar Melaka.. Setelah feringgi (Portugis) datang dengan bala tenteranya, maka punahlah empayar yang teragung itu.. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa dari keagungannya, yang tinggal hanyalah secebis sejarah untuk atok kalamkan kepada cucu sekalian...

Satu persoalan yang seringkali generasi cucu lontarkan..dan kadangkala menjadi bahan ketawa generasi terkemudian.. Kata mereka..

"PORTUGIS DATANG DENGAN MERIAM DAN SENAPANG, ORANG MELAKA BERJUANG DENGAN KERIS DAN PEDANG.. BODOH BETUL, MACAM MANA MAU MENANG KALAU BERPERANG..? "

Cucu... Tersentak sanubari dan jiwa atok mendengarnya.. Betapa dengan mudah generasi-generasi terkemudian mengatakan BODOH kepada hulubalang-hulubalang Melaka yang berjuang bermati-matian mempertahankan Empayar Melaka ketika itu...

Cucu.... Biar saja atok ceritakan perkara yang sebenar kepada cucu.. Dengar dengan sebaiknya cu kalam atok ini...

" MELAKA TIDAK TEWAS KERANA SENJATA, MELAKA TEWAS KERANA PENGKHIANATAN BANGSA SENDIRI YANG KHIANAT DAN BERSENGKETA "

Kalau cucu mahu tahu, angkatan perang Melaka tiada tolok bandingnya andai mahu dibandingtara dengan angkatan Portugis itu. Kapal-kapal perang Alfonso itu hanya sekecil anak kalau mahu dibandingkan dengan bahtera-bahtera perang milik Angkatan Laut Melaka... Meriam-meriam Portugis itu hanya sebesar kelingking andai mahu dibandingkan dengan Meriam-meriam yang mengelilingi kubu di Kota Melaka.. Itu belum lagi andai mahu diceritakan betapa hebatnya pahlawan-pahlawan Melaka yang sering saja didendangkan dengan Hikayat Amir Hamzah sebelum turun berperang, apalah sangat mahu dibandingkan dengan soldadu-soldadu Portugis itu....

Namun akibat pengkhianatan beberapa orang Melaka sendiri... Maka akhirnya Melaka jatuh ke tangan Portugis..

Siapa yang naik ke kapal Alfonso, dan kemudian menceritakan segala strategi dan kekuatan Melaka...? Siapa yang naik ke kapal Alfonso, dan kemudian menyerahkan peta kedudukan meriam-meriam strategik Melaka..? Siapa yang naik ke kapal Alfonso, dan kemudian membuka rahsia kelemahan kota Melaka..? Siapa yang naik ke kapal Alfonso, dan kemudian menyerahkan kunci pintu khazanah perpustakaan diraja Melaka..?

Ya cucu sekalian.. Ia angkara pengkhianatan bangsa sendiri... Ya cucu sekalian.. orang Melayu Melaka sendiri yang menjadi pengkhianat dan menceritakan segala kekuatan dan kelemahan Melaka kepada penjajah..

Pengkhianatan...!!! Pengkhianatan...!!! Pengkhianatan...!!!

Itulah yang menyebabkan Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis.. Bergilir ganti ke tangan Belanda... Berpasung pula ke tangan Inggeris.. 500 tahun lamanya cu.. Melaka dijajah dan musnah akibat pengkhianatan dari bangsa sendiri..!!!

Tuangkan kopi cu..tekak atok sudah dahaga.. =)

Cu...itulah akibatnya apabila sesama bangsa kita bersengketa, empayar yang kuat pun hancur dan binasa.. Apa yang tinggal hanyalah debu-debu sebuah cerita, sekadar menjadi peneman hikayat tidur malam anak-anak bangsa.. Atok bukan sekadar mahu berceloteh sahaja, mahu atok sampaikan kepada cucu sekalian bahawa usahlah kita bersengketa.. Kerna sesungguhnya Melayu itu hidupnya bersatu dan bersaudara, andai bersengketa maka rosak dan binasa.. Belajarlah dari Melaka cu, usahlah cu ulangi kesilapan itu lagi... Janganlah jadi petualang kepada bangsa dan agama sendiri, Tanah Melayu ini warisan nenek moyang kita, di tangan cucu lah ia kan kela terpelihara..

Aaahh...satu lagi yang menjadi persoalan cucu semua sekian lama...

" Ke mana hilangnya TUAH ketika itu...? "

Tuah tidak ke mana-mana cu... Tuah bukanlah pengecut dan dayus untuk lari meninggalkan Melaka dalam keadaan rosak dan binasa. Pantang sekali pendekar berundur sebelum bertempur, inikan pula Laksamana Tuah yang termasyhur..

Namun Tuah bersedih melihat pengkhianatan bangsanya sendiri... Tuah membawa diri dan hilang entah ke mana setelah jiwanya tersiksa akibat membunuh saudara sendiri... Demi taat dan setia kepada Sultan Melaka, adinda Jebat menjadi taruhannya.. Derhaka kepada Sultan bukan langkahannya, kerna pantang anak Melayu untuk derhaka pada sultannya.. Itulah prinsip dan pegangan Tuah, lantas Tuah pergi membawa diri.. Meninggalkan segala kekalutan dan kehancuran duniawi, meneruskan hidupnya secara tersendiri.. Mengenal diri dan mencari rabbi.. =)

Cucu sekalian... Sejak kebelakangan purnama ini, ada seorang ilmuan yang kononnya masyhur serata alam dengan ijazah dan gelarannya mahu mempertikaikan wujudnya Tuah.. Aaahh... Setelah beratus tahun lamanya, tiba-tiba sahaja muncul seorang manusia sepertinya.. Atok tidak pandai dalam berbahas fakta, namun sebenarnya ia hanyalah mahu meracun jiwa dan kekuatan anak-anak Melayu seperti cucu... Apakah cucu sudah lupa, "kalau mahu memusnahkan sebuah ketamadunan bangsa, tidak perlu bunuh orangnya namun bunuhlah sejarahnya sehingga mereka tidak kenal asal usulnya"

Cucu sudah nampak apa yang ingin atok sampaikan..? Mereka gentar dengan kewujudan Tuah, kerna mereka sedar bahawa anak-anak Melayu begitu bangga akan Hang Tuah hingga terbawa-bawa semangat Tuah di dalam diri..

Taat Setia kepada Sultan laksana HANG TUAH.. Berpencak dan bersilat laksana HANG TUAH.. Gagah dan berani laksana HANG TUAH.. Bijaksana dalam bermadah laksana HANG TUAH.. Ini anak Melayu keturunan HANG TUAH.. Tidak gentar dan gusar walau apa yang mendatang.. SEMANGAT TUAH kekal dalam diri anak-anak Melayu..

Nah...kalau-kalau Tuah tidak wujud bak kata ilmuan bermata sepet itu, pastinya madah dan kalam di atas jadinya...

Taat Setia kepada Sultan laksana ____________ ? Berpencak dan bersilat laksana _____________ ? Gagah dan berani laksana ____________ ? Bijaksana dalam bermadah laksana ____________ ? Ini anak Melayu keturunan _____________ ? Tidak gentar dan gusar walau apa yang mendatang SEMANGAT ____________ kekal dalam diri anak-anak Melayu..

Kosong...kosong....dan kosong...! Tiada apa lagi yang mahu dibanggakan..Tiada apa lagi yang mahu dimadahkan.. Melayu hilang alter dan tokoh kebanggaan mereka.. Melayu hilang pendekar dan laksamana teragung mereka.. Melayu hilang identitinya...

Ya... SEJARAH MELAYU DIBUNUH... JIWA MELAYU DIBUNUH.. TIADA APA LAGI MAHU DIAGUNGKAN..!

Mungkin selepas ini, tidur malam anak Melayu tidak lagi didodoi dengan hikayat keagungan bangsanya.. Mungkin selepas ini, anak Melayu lebih kenal FONG SAI YUK.. anak Melayu lebih kenal IP MAN.. anak Melayu lebih kenal FIVE SHAOLIN ELDERS.. anak Melayu lebih kenal WONG FEI HONG.. anak Melayu hanya kenal sejarah dan kegemilangan bangsa lain.. Tiada apa nak dibanggakan dengan bangsanya.. anak Melayu malu jadi Melayu.. anak Melayu hanya tinggal nama... Melayu terus layu...

Cucu ku sekalian.. Warkah ini tok sampaikan kepada cucu... Ingatkah cucu yang TUAH telah menyampaikan satu KALIMAT KERAMAT untuk tatapan dan pegangan cucu...? Mungkin cu sudah terlupa, tidak mengapa cu.. akhirul kalam nanti atok nukilkan padamu cu..!

Cucu ku sekalian... Tanah Melayu ini pusaka tinggalan warisan nenek moyang kita.. Usahlah lagi bersengketa.. Dari runtuhan kota Melaka, cucu dirikanlah kebangkitan anak bangsa.. Ini tanah yang menyimpan seribu satu rahsia kebangkitan.. Ini tanah yang menyimpan seribu satu khazanah akhirul zaman.. Jagalah ia sebaik mungkin cu.. Nenek Moyang kita bergolok gadai mempertahankannya.. Maka kini cucu lah pewaris nya... Kalau umur atok tidak lagi panjang, sekurangnya atok tahu bahawa cucu-cucu atok telah belajar sesuatu hari ini.. Jadikanlah warkah atok ini sebagai satu pesanan sepanjang kehidupan cucu.. Andai atok pergi sebentar lagi, anggaplah ini wasiat terakhir atok kepada cucu sekalian..

TANAH MELAYU INI KITA YANG PUNYA, PERTAHANKAN IA HATTA DENGAN DARAH DAN NYAWA.. USAH LAGI BERSENGKETA, BANGKITLAH DEMI KEBANGKITAN YANG TERAKHIR KALINYA.. MELAYU DAN ISLAM BERPISAH TIADA.. KEPADA ALLAH KITA BERSERAH, SEMOGA MELAYU DAN ISLAM KEKAL HINGGA KE AKHIRNYA..

Aaaahhhh... Atok sudah berbicara panjang.. Tuangkan kopi itu cu, tok mahu habiskan cerita..

Atok sudah sekian lama memendam rasa, melihat kejatuhan dan kemusnahan bangsa dan agama Atok sendiri.. Atok sudah lama bersembunyi dan membawa diri, entahlah berapa lamanya Atok menyepikan diri dan kini Atok kembali demi amanat terakhir Atok kepada cucu sekalian kalinya ini.. Kepada cucu yang Atok sayangi, kepada cucu yang menjadi pewaris terakhir tanah Atok ini...

Cucu ku sekalian... Dulu pernah atok berpesan kepada cucu.. 500 tahun lamanya dahulu.. Masihkah cu ingat...? " TA'KAN MELAYU HILANG DI DUNIA " Ya..itulah pesan dan kalimat keramat dari atok kepada cucu sekalian.. Hayatilah cu, apa yang tersirat di sebaliknya...

Aaahh..cucu bertanya siapa sebenarnya Atok yang menulis kalam dan bercerita ini..? Sekian lama Atok bersembunyi, mungkinkah kini Atok terlalu rindu untuk bertemu cucu sendiri..? Siapa lagi mampu melakar kisah sebegini, bercerita mengenai Melaka dan Tuah kalau bukan Tuah itu sendiri?

Siapa sebenarnya Atok ini...?

SSSssSsHHhhhhhh.......! CUCU TELAH BERJANJI BUKAN...? =) 

http://bradokapak.blogspot.com/2012/03/warkah-rahsia-wasiat-terakhir-buat-anak.html