Pages

Sunday, June 2, 2013

WASIAT TERAKHIR DAN WARKAH RAHSIA DARI ATOK KEPADA CUCUNYA....

Assalamualaikum cucu-cucu atok sekalian... Begitu ramai sekali cucu-cucu atok yang berkelana sehingga ke sini, Alhamdulillah moga diberkati akan segala usaha cucu itu.. Orang muda seperti cucu jangan gentar dalam mencari ilmu, tuntutlah ia hatta sehingga liang lahad sekalipun...

Panjang pula atok berceloteh....aaahh, mungkin kerna sudah sekian lama atok bersembunyi.. Mungkin jua kerna kerinduan untuk atok menyampaikan warkah ini kepada cucu sekalian.. Siapa atok? aaahhh...cuma seorang tua yang merindukan cucunya, mahu menyampaikan sesuatu sebagai peringatan... Maklumlah, orang lama itu umpama kelapa tua, makin tua makin banyak santannya.. =)

Cucu.... Mahukah cucu mendengar atok berceloteh.. Mungkin saja orang seperti atok ini digelar gila, nyanyuk, kolot dan macam-macam lagi gerangannya.. Kalau cucu mahu teruskan mendengar, silakan cu..duduklah bersila di atas tikar mengkuang itu..pasangkan pelita hatimu, seterang pelita di tiang pondok usang atok ini.. Pasang telinga betul-betul cu..tok mahu ceritakan sesuatu kepada cucu...

Cucu... Sebelum itu... Setelah cucu mendengar cerita atok ini, cu perlu berjanji kepada atok.. Cu perlu berjanji yang cucu mesti MERAHSIAKAN SIAPAKAH DIRI ATOK... Mampukah cu BERJANJI..? Mampu....? Bagus cu..pegang janji itu seeratnya, atok mahu mulakan cerita... Tolong ambil tepak sireh di tepi talam itu, sambil bercerita kan enak sambil mengunyah sireh... =)

Cucu... Atok mahu menceritakan kembali sejarah yang telah berlaku... Ya cu... MELAKA...! TUAH...! Nama yang cukup menyentuh benak hati atok sekian lamanya... Biarlah.. hari ini biarlah atok bercerita lembaran yang sebenar kepada cucu.. Supaya kelak cucu mampu jadikan ia sebagai tauladan, dan jangan cucu ulang ia sebagai satu kealpaan..

Cucu ku sekalian... Melaka sejak dahulu kala cukup terkenal sebagai sebuah kuasa besar perdagangan di Selat Melaka. Betapa ketika itu banyaknya bahtera-bahtera yang datang berdagang, sejauh mata yang memandang.. Yang bermata sepet, yang berkulit putih, yang berkulit hitam hatta apa warna sekalipun pantas saja datang ke Melaka untuk melihat keagungan sebuah kerajaan Melayu.. Sebut saja nama Melaka, di serata pelusuk utara selatan timur dan barat pasti mengenalinya.. Ada yang datang berdagang rempah, ada yang datang berdagang permata dan ada pula yang datang berdagang nasib menyabung hidup menumpang keagungan sebuah kerajaan..

Aaahh...kalau atok mahu bercerita keagungan Melaka, pasti 1001 lembaran kertas pun belum habis atuk mengarang.. pasti 1001 malam pun belum tentu atok habis bercerita... =)

Tuangkan kopi pekat itu cu... Atok mahu menyambung warkah ini..

Maka syahadan tersebut ketika itulah masyhurnya Melaka dengan seorang LAKSAMANA bernama HANG TUAH.. TUAH.. JEBAT..KASTURI..LEKIR..LEKIU..

Itulah nama yang masyhur ke serata alam, menjadi sebutan segala isi alam yang bertandang ke Melaka.. Dipendekkan cerita dan dengan takdir yang Maha Esa, tiadalah kekal lama Empayar Melaka.. Setelah feringgi (Portugis) datang dengan bala tenteranya, maka punahlah empayar yang teragung itu.. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa dari keagungannya, yang tinggal hanyalah secebis sejarah untuk atok kalamkan kepada cucu sekalian...

Satu persoalan yang seringkali generasi cucu lontarkan..dan kadangkala menjadi bahan ketawa generasi terkemudian.. Kata mereka..

"PORTUGIS DATANG DENGAN MERIAM DAN SENAPANG, ORANG MELAKA BERJUANG DENGAN KERIS DAN PEDANG.. BODOH BETUL, MACAM MANA MAU MENANG KALAU BERPERANG..? "

Cucu... Tersentak sanubari dan jiwa atok mendengarnya.. Betapa dengan mudah generasi-generasi terkemudian mengatakan BODOH kepada hulubalang-hulubalang Melaka yang berjuang bermati-matian mempertahankan Empayar Melaka ketika itu...

Cucu.... Biar saja atok ceritakan perkara yang sebenar kepada cucu.. Dengar dengan sebaiknya cu kalam atok ini...

" MELAKA TIDAK TEWAS KERANA SENJATA, MELAKA TEWAS KERANA PENGKHIANATAN BANGSA SENDIRI YANG KHIANAT DAN BERSENGKETA "

Kalau cucu mahu tahu, angkatan perang Melaka tiada tolok bandingnya andai mahu dibandingtara dengan angkatan Portugis itu. Kapal-kapal perang Alfonso itu hanya sekecil anak kalau mahu dibandingkan dengan bahtera-bahtera perang milik Angkatan Laut Melaka... Meriam-meriam Portugis itu hanya sebesar kelingking andai mahu dibandingkan dengan Meriam-meriam yang mengelilingi kubu di Kota Melaka.. Itu belum lagi andai mahu diceritakan betapa hebatnya pahlawan-pahlawan Melaka yang sering saja didendangkan dengan Hikayat Amir Hamzah sebelum turun berperang, apalah sangat mahu dibandingkan dengan soldadu-soldadu Portugis itu....

Namun akibat pengkhianatan beberapa orang Melaka sendiri... Maka akhirnya Melaka jatuh ke tangan Portugis..

Siapa yang naik ke kapal Alfonso, dan kemudian menceritakan segala strategi dan kekuatan Melaka...? Siapa yang naik ke kapal Alfonso, dan kemudian menyerahkan peta kedudukan meriam-meriam strategik Melaka..? Siapa yang naik ke kapal Alfonso, dan kemudian membuka rahsia kelemahan kota Melaka..? Siapa yang naik ke kapal Alfonso, dan kemudian menyerahkan kunci pintu khazanah perpustakaan diraja Melaka..?

Ya cucu sekalian.. Ia angkara pengkhianatan bangsa sendiri... Ya cucu sekalian.. orang Melayu Melaka sendiri yang menjadi pengkhianat dan menceritakan segala kekuatan dan kelemahan Melaka kepada penjajah..

Pengkhianatan...!!! Pengkhianatan...!!! Pengkhianatan...!!!

Itulah yang menyebabkan Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis.. Bergilir ganti ke tangan Belanda... Berpasung pula ke tangan Inggeris.. 500 tahun lamanya cu.. Melaka dijajah dan musnah akibat pengkhianatan dari bangsa sendiri..!!!

Tuangkan kopi cu..tekak atok sudah dahaga.. =)

Cu...itulah akibatnya apabila sesama bangsa kita bersengketa, empayar yang kuat pun hancur dan binasa.. Apa yang tinggal hanyalah debu-debu sebuah cerita, sekadar menjadi peneman hikayat tidur malam anak-anak bangsa.. Atok bukan sekadar mahu berceloteh sahaja, mahu atok sampaikan kepada cucu sekalian bahawa usahlah kita bersengketa.. Kerna sesungguhnya Melayu itu hidupnya bersatu dan bersaudara, andai bersengketa maka rosak dan binasa.. Belajarlah dari Melaka cu, usahlah cu ulangi kesilapan itu lagi... Janganlah jadi petualang kepada bangsa dan agama sendiri, Tanah Melayu ini warisan nenek moyang kita, di tangan cucu lah ia kan kela terpelihara..

Aaahh...satu lagi yang menjadi persoalan cucu semua sekian lama...

" Ke mana hilangnya TUAH ketika itu...? "

Tuah tidak ke mana-mana cu... Tuah bukanlah pengecut dan dayus untuk lari meninggalkan Melaka dalam keadaan rosak dan binasa. Pantang sekali pendekar berundur sebelum bertempur, inikan pula Laksamana Tuah yang termasyhur..

Namun Tuah bersedih melihat pengkhianatan bangsanya sendiri... Tuah membawa diri dan hilang entah ke mana setelah jiwanya tersiksa akibat membunuh saudara sendiri... Demi taat dan setia kepada Sultan Melaka, adinda Jebat menjadi taruhannya.. Derhaka kepada Sultan bukan langkahannya, kerna pantang anak Melayu untuk derhaka pada sultannya.. Itulah prinsip dan pegangan Tuah, lantas Tuah pergi membawa diri.. Meninggalkan segala kekalutan dan kehancuran duniawi, meneruskan hidupnya secara tersendiri.. Mengenal diri dan mencari rabbi.. =)

Cucu sekalian... Sejak kebelakangan purnama ini, ada seorang ilmuan yang kononnya masyhur serata alam dengan ijazah dan gelarannya mahu mempertikaikan wujudnya Tuah.. Aaahh... Setelah beratus tahun lamanya, tiba-tiba sahaja muncul seorang manusia sepertinya.. Atok tidak pandai dalam berbahas fakta, namun sebenarnya ia hanyalah mahu meracun jiwa dan kekuatan anak-anak Melayu seperti cucu... Apakah cucu sudah lupa, "kalau mahu memusnahkan sebuah ketamadunan bangsa, tidak perlu bunuh orangnya namun bunuhlah sejarahnya sehingga mereka tidak kenal asal usulnya"

Cucu sudah nampak apa yang ingin atok sampaikan..? Mereka gentar dengan kewujudan Tuah, kerna mereka sedar bahawa anak-anak Melayu begitu bangga akan Hang Tuah hingga terbawa-bawa semangat Tuah di dalam diri..

Taat Setia kepada Sultan laksana HANG TUAH.. Berpencak dan bersilat laksana HANG TUAH.. Gagah dan berani laksana HANG TUAH.. Bijaksana dalam bermadah laksana HANG TUAH.. Ini anak Melayu keturunan HANG TUAH.. Tidak gentar dan gusar walau apa yang mendatang.. SEMANGAT TUAH kekal dalam diri anak-anak Melayu..

Nah...kalau-kalau Tuah tidak wujud bak kata ilmuan bermata sepet itu, pastinya madah dan kalam di atas jadinya...

Taat Setia kepada Sultan laksana ____________ ? Berpencak dan bersilat laksana _____________ ? Gagah dan berani laksana ____________ ? Bijaksana dalam bermadah laksana ____________ ? Ini anak Melayu keturunan _____________ ? Tidak gentar dan gusar walau apa yang mendatang SEMANGAT ____________ kekal dalam diri anak-anak Melayu..

Kosong...kosong....dan kosong...! Tiada apa lagi yang mahu dibanggakan..Tiada apa lagi yang mahu dimadahkan.. Melayu hilang alter dan tokoh kebanggaan mereka.. Melayu hilang pendekar dan laksamana teragung mereka.. Melayu hilang identitinya...

Ya... SEJARAH MELAYU DIBUNUH... JIWA MELAYU DIBUNUH.. TIADA APA LAGI MAHU DIAGUNGKAN..!

Mungkin selepas ini, tidur malam anak Melayu tidak lagi didodoi dengan hikayat keagungan bangsanya.. Mungkin selepas ini, anak Melayu lebih kenal FONG SAI YUK.. anak Melayu lebih kenal IP MAN.. anak Melayu lebih kenal FIVE SHAOLIN ELDERS.. anak Melayu lebih kenal WONG FEI HONG.. anak Melayu hanya kenal sejarah dan kegemilangan bangsa lain.. Tiada apa nak dibanggakan dengan bangsanya.. anak Melayu malu jadi Melayu.. anak Melayu hanya tinggal nama... Melayu terus layu...

Cucu ku sekalian.. Warkah ini tok sampaikan kepada cucu... Ingatkah cucu yang TUAH telah menyampaikan satu KALIMAT KERAMAT untuk tatapan dan pegangan cucu...? Mungkin cu sudah terlupa, tidak mengapa cu.. akhirul kalam nanti atok nukilkan padamu cu..!

Cucu ku sekalian... Tanah Melayu ini pusaka tinggalan warisan nenek moyang kita.. Usahlah lagi bersengketa.. Dari runtuhan kota Melaka, cucu dirikanlah kebangkitan anak bangsa.. Ini tanah yang menyimpan seribu satu rahsia kebangkitan.. Ini tanah yang menyimpan seribu satu khazanah akhirul zaman.. Jagalah ia sebaik mungkin cu.. Nenek Moyang kita bergolok gadai mempertahankannya.. Maka kini cucu lah pewaris nya... Kalau umur atok tidak lagi panjang, sekurangnya atok tahu bahawa cucu-cucu atok telah belajar sesuatu hari ini.. Jadikanlah warkah atok ini sebagai satu pesanan sepanjang kehidupan cucu.. Andai atok pergi sebentar lagi, anggaplah ini wasiat terakhir atok kepada cucu sekalian..

TANAH MELAYU INI KITA YANG PUNYA, PERTAHANKAN IA HATTA DENGAN DARAH DAN NYAWA.. USAH LAGI BERSENGKETA, BANGKITLAH DEMI KEBANGKITAN YANG TERAKHIR KALINYA.. MELAYU DAN ISLAM BERPISAH TIADA.. KEPADA ALLAH KITA BERSERAH, SEMOGA MELAYU DAN ISLAM KEKAL HINGGA KE AKHIRNYA..

Aaaahhhh... Atok sudah berbicara panjang.. Tuangkan kopi itu cu, tok mahu habiskan cerita..

Atok sudah sekian lama memendam rasa, melihat kejatuhan dan kemusnahan bangsa dan agama Atok sendiri.. Atok sudah lama bersembunyi dan membawa diri, entahlah berapa lamanya Atok menyepikan diri dan kini Atok kembali demi amanat terakhir Atok kepada cucu sekalian kalinya ini.. Kepada cucu yang Atok sayangi, kepada cucu yang menjadi pewaris terakhir tanah Atok ini...

Cucu ku sekalian... Dulu pernah atok berpesan kepada cucu.. 500 tahun lamanya dahulu.. Masihkah cu ingat...? " TA'KAN MELAYU HILANG DI DUNIA " Ya..itulah pesan dan kalimat keramat dari atok kepada cucu sekalian.. Hayatilah cu, apa yang tersirat di sebaliknya...

Aaahh..cucu bertanya siapa sebenarnya Atok yang menulis kalam dan bercerita ini..? Sekian lama Atok bersembunyi, mungkinkah kini Atok terlalu rindu untuk bertemu cucu sendiri..? Siapa lagi mampu melakar kisah sebegini, bercerita mengenai Melaka dan Tuah kalau bukan Tuah itu sendiri?

Siapa sebenarnya Atok ini...?

SSSssSsHHhhhhhh.......! CUCU TELAH BERJANJI BUKAN...? =) 

http://bradokapak.blogspot.com/2012/03/warkah-rahsia-wasiat-terakhir-buat-anak.html


4 comments: