Pages

Friday, December 14, 2012

ALMARHUM SULTAN ABDUL HAMID HALIM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN AHMAD TAJUDDIN MUKARRAM SHAH - SULTAN KEDAH DARUL AMAN



DYMM Almarhum Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah diputerakan pada 4hb. Jun 1864. Baginda ialah Sultan Kedah yang ke-28 dan memerintah dari tahun 1882 sehingga 1943. Baginda menaiki takhta sebagai Sultan Kedah pada 21hb. Januari 1882 ketika baginda berusia 19 tahun, setelah kemangkatan kekanda baginda iaitu Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah.

Memandangkan usia baginda masih muda ketika ditabalkan, baginda telah melantik Jemaah Pemangku Raja untuk membantu baginda dalam urusan pentadbiran negeri. Sultan Abdul Hamid sering mengadakan lawatan ke negeri-negeri lain untuk meninjau kemajuan negeri berkenaan dan belajar tentang urusan pentadbiran negeri.

Pada tahun 1885, baginda melawat negeri Perak. Baginda juga mengunjungi Singapura untuk tujuan yang sama. Sultan Abdul Hamid sering mengunjungi Bangkok untuk merapatkan hubungan dengan penaungnya iaitu Raja Rama IV. Setiap kali tiba hari perayaan atau hari keputeraan Raja Rama IV, baginda akan keBangkok dengan menaiki kapal baginda 'Good Luck'. Antara kotalain yang pernah dilawati ialah Rangoon (Yanggon), Mandalay,Bombay (Mumbai) dan menghadiri upacara pertabalan Raja Inggeris, King George V pada tahun 1911.

Berdasarkan hubungan diplomatik yang erat dengan kerajaan Siam, baginda telah dikurnai bintang 'Order the White Elephant First Class' bersama gelaran Chao Phya Saiburi. Atas kegigihan baginda, kerajaan Siam menganugerahkan pangkat 'Chao Phya Riddisongkran Bakti' serta dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Setul dan Perlis. Ketulusan hati baginda telah berjaya menawan hati Raja Chulalongkorn, hinggakan putera baginda iaitu Tunku Yusof, Tunku Badlishah dan Tunku Mohammad Jewa telah dijadikan anak angkat Raja Chulalongkorn dan dimasukkan ke King's College di Bangkok. Tunku Yusuf sebagai King's Scholar kemudiannya dihantar ke Rugby School, England untuk melanjutkan pelajarannya. Tunku Badlishah yang juga sebagai King's Scholar dihantar ke Wadham College, Oxford untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi. Sementara Tunku Mohammad Jewa terus menuntut di King's College sehingga 1909 sebelum meneruskan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Sultan Abdul Hamid telah melakukan banyak perubahan dalam urusan pentadbiran. Pada akhir abad ke-19, baginda telah mewujudkan Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Audit, Pejabat Besar Pos dan Telekom serta Mahkamah Keadilan.

Baginda juga telah menubuhkan Council Negeri yang berperanan membantu dalam urusan pentadbiran. Anggota majlis tersebut terdiri daripada Tunku Ibrahim, Tunku Abdul Aziz (Raja Muda), W.J.F. Williamson (Penasihat Kewangan), Haji Ahmad (Hakim Besar) dan Encik Mohamed Ariffin (Setiausaha Kerajaan). Kecekapan Datuk Wan Muhammmad Saman sebagai Perdana Menteri telah banyak membantu baginda dalam pentadbiran negeri. Kematian Datuk Wan Muhammmad Saman pada 14hb. Disember 1898 merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Kedah. Sementara untuk jaminan keselamatan, baginda telah mencadangkan penubuhan pasukan polis

.
Sultan Abdul Hamid juga membawa banyak pembaharuan dalam bidang ekonomi. Antaranya ialah baginda menggalakkan penanaman padi di negeri Kedah. Hasil perbincangan dengan Datuk Wan Muhammmad Saman, terusan sepanjang 22 batu, 24 kaki lebar dan sedalam 5 kaki telah dibina bermula dari Sungai Kedah ke kaki Gunung Jerai untuk tujuan pengairan. Selain penanaman padi, penanaman getah turut diperkenalkan pada tahun 1909. Anakanda baginda, Tunku Ibrahim telah memperkenalkan pekan sehari atau lebih dikenali sebagai 'pekan nat' untuk para petani memasarkan hasil pertanian mereka. Baginda telah berkenan menganugerahkan sebidang tanah sebagai tapak untuk pembinaan 'Pekan Rabu'.

Sultan Abdul Hamid turut mengambil berat soal perkembangan agama Islam. Sekembali dari Siam pada tahun 1885, baginda telah memberi perhatian terhadap usaha membesarkan Masjid Zahir. Baginda mengambil contoh masjid di Acheh untuk reka bentuk baru Masjid Zahir. Baginda telah menubuhkan Majlis Ulama, mengusahakan pembinaan Madrasatul Hamadiah di Limbung Kapal dan memperkenan pembinaan Al Ma'hadi Mahmud (Maktab Mahmud) di Jalan Pegawai. Selain itu, baginda telah memperkenalkan jubah untk dipakai oleh kakitangan masjid.

Sultan Abdul Hamid juga berkebolehan menguasai bahasa Inggeris, bahasa Siam dan bahasa Arab. Baginda amat menitikberatkan soal pendidikan rakyat. Untuk tujuan itu, banyak sekolah didirikan. Antaranya di Kulim (1896), Jalan Baru Alor Star (1898), Yan (1900), Simpang Empat Kangkung (1906) dan Junjung, Kulim (1906). Atas keprihatinan melihat pelajar aliran Inggeris berulang-alik untuk mendapat ilmu di Pulau Pinang, baginda telah perkenan menubuhkan sebuah sekolah Inggeris yang pertama pada tahun 1908 di Alor Star yang kemudiannya dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Pada peringkat awal, para pelajarnya hanya terdiri daripada anak-anak golongan bangsawan. Namun pada tahun 1911, KSAH telah dibuka untuk orang ramai. Pada tahun 1917, KSAH telah dirasmikan oleh baginda. Sekolah Cina turut dibenarkan dibina. Pada tahun 1930-an wujud pula sekolah Tamil pertama di negeri Kedah iaitu di Kuala Muda.

Antara pembaharuan lain ialah baginda menggerakkan usaha pembinaan jalan raya, memprkenalkan perkhidmatan telegraf (1899), penubuhan Jabatan Kesihatan dan penjara (1905), hospital (1908) serta pengemasan Balai Nobat (1912). Baginda turut memperkenalkan bendera peribadi baginda yang berwarna kuning pada tahun 1912.


Di penghujung pemerintahan, baginda telah kehilangan kaum kerabat yang banyak membantu iaitu Tunku Aziz, Tunku Mahmud dan Tunku Ibrahim. Baginda sendiri turut mengalami masalah kesihatan. Semasa kedatangan Jepun pada tahun 1943, baginda telah melarikan diri mengikut pegawai-pegawai Inggeris. Atas kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman, baginda dibawa ke Sidim, Kulim untuk mendapatkan perlindungan. Baginda telah menduduki takhta selama 62 tahun. Baginda dianggap sebagai seorang Sultan yang memiliki kebesaran daulat oleh banyak generasi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Yang Di-pertuan.

Baginda mangkat pada 13hb. Mei 1943 dan diganti oleh Sultan Badlishah. Anakanda-anakanda almarhum termasuklah DYMM Sultan Badlishah, Tunku Ya'acob dan Tunku Abdul Rahman Putra yang dilahirkan pada 8hb. Februari 1903 di Alor Star. Tunku Abdul Rahman Putra ialah Perdana Menteri Malaysia pertama (1957 - 1959 dan 1959 - 1970). Beliau meninggal dunia pada 6hb. Disember 1990 di Kuala Lumpur. KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim yang memerintah negeri Kedah Darul Aman sekarang ialah cucunda DYMM Tuanku Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Sumber :buku "Indah Khabar Indah Rupanya" (diterbitkan sempena KSAH 100 Tahun).

No comments:

Post a Comment