MisteriPengembaraan 3 Putera Raja

Kisah asal-usul keturunan Long Gaffar dikatakan bermula dengan pengembaraan tiga orang putera raja dari Pagar Ruyung yang tidak dapat dikenalpasti siapakah mereka itu sebenarnya, kerana riwayat lisannya (VLG) hanya menyatakan mereka adalah putera-putera raja dari Pagar Ruyung, Palembang, di mana menurut tradisinya di kalangan raja-raja yang mengamalkan Adat Perpateh yang diwarisi dari tanah adat di Pagar Ruyung, apabila seseorang dalam suatu keluarga khasnya keluarga diraja dilantik menjadi raja, maka saudara-saudaranya yang lain dari keluarga diraja berkenaan yang tidak terpilih menaiki takhta kerajaan itu semestinya mengembara keluar negeri membawa haluan masing-masing untuk mencari pengalaman hidup, menuntut ilmu dan menanamkan semangat keperwiraan yang tinggi dalam dirinya. Dalam hubungan ini, didapati tiga orang putera diraja yang bersaudara dari Pagar Ruyung dikatakan telah keluar meninggalkan tanah air mereka, ibarat jika, untung sabut timbul dan jika untung batu tenggelam”. Mereka terpaksa meredah hutan belantara dan melayari lautan dengan menggunakan jong (bahtera) yang lengkap dengan segala peralatannya. Namun nasib tidaklah menyebelahi mereka, ke rana sebaik-baik sahaja mereka berada di tengah laut tiba-tiba di takdirkan Allah ribut kencang telah melanda bahtera mereka dan sekaligus karam di laut yang menyebabkan mereka tiga bersaudara itu terpisah tanpa arah dan tujuan. Tetapi, dengan berkat doa dan tawakal sejatinya kepada Allah Ta`ala, mereka terselamat sampai ke daratan.. Putera Tengah yang dikatakan datuk Long Gaffar telah dapat menyelamatkan dirinya dengan berpaut kepada apa sahaja yang terapung di laut dan tiada siapa pun yang menyangka dan mengetahuinya, tiba-tiba seekor `ikan ke kacang’ yang besar telah membawanya ke persisiran pantai di utara Tanah Melayu. Ia merupakan suatu keajaiban dan luar biasa sekali yang menyebabkan putera itu terfikir sejenak di mana hati kecil (dhamir)nya berbicara seketika, di mana baginya tidak mungkin sama sekali bagi seekor ikan yang kebiasaannya makanan manusia itu dapat menolongnya melainkan dengan kudrat dan iradat Allah Ta`ala. Sejak itu, lantaran terhutang budi dan nyawanya kepada makhluk penyelamat itu, dan peristiwa ini seolah-olah menjadi suatu sumpahan kepadanya dan zuriatnya sehingga melarang dirinya dan zuriatnya memakan ikan kekacang, di mana barangsiapa dari kalangan mereka memakannya maka buruklah padahnya.
Apa akan terjadi jika makan sama ada secara sengaja ataupun tidak ikan kekacang ini? Orang tua-tua khususnya dari keturunan Long Gaffar selalu berpesan kepada anak-cucu mereka secara turun-temurun supaya jangan sesekali memakan ikan kekacang ini kerana takut melanggar sumpahan atau janji Putera Tengah iaitu DATUK kepada Long Gaffar. Menurut mereka jika termakan ikan ini, mereka akan ditimpa MUSIBAH berbentuk PENYAKIT kulit seperti gatal dan sebagainya.
Sejauhmana kebenarannya saya sendiri tak tahu tapi saya sendiri beringat, memang tak pernah beli ikan ini apa lagi memakannya. Ada juga di kalangan sahabat saya bercerita bahawa orang tua mereka ada juga berpesan hal ini dan mereka pernah memakannya dan kemudiannya terkenalah penyakit tapi ada juga yang kata mereka tak kena apapun ! Itulah, sama ada kita nak percaya atau tidak, terpulang kepada akal masing-masing. Tapi orang tua-tua berpesan juga kalau nak makan tak apa, tapi kalau kena apa-apa musibah, tanggunglah sendiri.
Bagi saya, saya melihatnya daripada perspektif yang berbeza. Saya melihat pantang-larang ini lebih kepada unsurKEKELUARGAAN iaitu bagi memastikan supaya anak-cucu mereka mengenal “WARIS”. Hal ini biasa terjadi dalam masyarakat Melayu tradisi yang banyak menyelitkan pantang larang, tujuannya untuk kebaikan. Contohnya, orang-orang tua selalu berpesan supaya anak dara tidak menyanyi sewaktu memasak, tujuannya supaya nasi atau lauk tidak hangus ataupun takut tak sedap. Begitu juga tentang larangan supaya anak-anak tidak bermain waktu maghrib, tujuannya supaya mereka cepat bersiap untuk solat maghrib. Jadi  pantang-larang supaya tidak memakan IKAN KEKACANG ini bertujuan supaya kita saling kenal-mengenal, hormat-menghormati kerana kita adalah dari keturunan yang sama, dengan kata lain kita adalah dari satu keluarga, berasal dari nenek moyang yang sama.
Pantang larang supaya tidak memakan ikan kekacang ini sebenarnya tidak hanya terhad kepada kerabat Long Gaffar sahaja. Kerabat Long Yunus dan Jembal juga dikatakan berkongsi pantang-larang yang sama. Jadi jika berdasarkan kepada tafsiran saya di atas tadi, maka ini bermakna kesemua keturunan Di Raja di Kelantan tak kiralah sama ada dari Kerabat Long Yunus atau Jembal…KITA ADALAH SATU KELUARGA. Kita berasal daripada INDUK yang sama tapi disebabkan oleh peredaran masa kita terpisah-pisah, bertelagah sesama kita, masing-masing berebut tahta dan  berperang sesama sendiri. Kita sebenarnya bukan orang lain…kata orang kita…”gi mari gi mari, puok kito jugok”. Jadi kesimpulannya, marilah kita bersatu dan berpadu tenaga. Kerana kita bertelagah kita lemah dan dijajah. Marilah kita lupakan persengketaan lama. Kita bina balik KELANTAN yang lebih maju dan berkuasa.